facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close
loading...

Warkah Farah Lee Buat Arwah Ayahnya Pasti Akan Membuatkan Anda Rasa Sebak !!!

Baru-baru ini Farah Lee telah kehilangan Ayahanda yang tersayang. Setiap yang hidup pasti akan pergi jua. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Semoga diletakkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin…
Berikut adalah luahan yang dikongsikan oleh Farah Lee melalui akaun Instagramnya farahlee_ :
farahlee_#suratuntukpapa 15may2017
Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. I still can feel the warmth of you final hug before I flew to Korea, Papa. Tak sangka itu akan jadi pelukan terakhir kita. Papa sakit pun Kakcik still in denial, apatah Papa pergi dengan terlalu segera begini. Kalau difikir dalam, aku terkilan kerana tiada dekat di sisi di saat akhir nafas yang dipinjamkan itu diambil kembali. Tapi hasil didikan Papa, aku yakin, asbabnya aku bermusafir ini, manfaat tujuan aku di jauh ini, akan jadi saham untuk Papa kembali dekat di sisi Tuhan, mungkin mampu membina istana untuk Papa yang gagah di hadapan Tuhan. Tunggu Kakcik Papa, suatu hari kita pasti berjumpa lagi. Sementara itu, semoga rindu yang bertamu, bertukar doa peneman Papa di situ. I love you, Wiraku.
ROMLI BIN ISMAIL
060752-140517
farahlee_#suratuntukpapa 15may2017
Usai solat jenazah di kalangan ahli keluarga berhampiran. Terima kasih semua atas doa dan kata-kata semangat. Maaf saya belum sempat baca semua dan belum sempat maklumkan pada kenalan rapat, saya harap dengan makluman di sini dapat panjangkan berita ini. Saya sedang kemas-kemas barang untuk balik ke Malaysia pagi nanti, inshaAllah petang sampai. Ikutkan hati teringin sangat tengok wajah Papa dan peluk erat sebelum dikebumi tapi saya dan adik, Aiman di Germany lebih redha jika jenazahnya di sempurnakan secepat mungkin. Kami tahu itu yang lebih afdhal di sisiNya.
Update dari kakak saya: “Alhamdulillah.. Jenazah sudah siap dimandikan dan sedang dikafankan sekarang. Semua urusan dibuat di IJN. InshaAllah, jenazah akan disolatkan di Masjid Sultan Hishamudin Alam Shah, Batu 14, Hulu Langat pada jam 10 pagi nanti (15.05.17).”
Jadi sesiapa yang berkelapangan yang sudi datang berjemaah solatkan jenazah Papa saya dan berjumpa dengan ahli keluarga saya yang lain jemputlah ke sana ya.
Dikesempatan ini, saya ingin ucapan berbanyak terima kasih kepada ahli keluarga yang tidak putus bagi semangat sejak kesihatan Papa nampak banyak terjejas sekitar 6 bulan lepas. Kawan-kawan saya, kawan Papa dan kawan ahli keluarga saya yang sentiasa bertanya khabar. Kenalan di sini yang mungkin tidak mengenali saya secara peribadi tetapi sudi doakan, menolong, dan berkogsi info serta pengalaman terutama selepas saya berkongsi yang Papa disahkan pengidap sakit jantung. Pihak Hospital Sultanah Zahirah KT yang sudi menjaga Papa sebanyak beberapa kali warded dan pihak Institut Jantung Negara KL yang merawat Papa sejak kemasukan Papa ke ER pada pagi Isnin lepas (08.05.17) sehinggalah menyelesaikan urusan jenazahnya. Kami sekeluarga hanya mampu doakan kebaikan semua dibalas dengan kebaikan dari Allah yang berlipat kali ganda. Jika Papa ada berhutang atau berkesilapan yang tidak mampu dimaafkan, maklumkan kami supaya kami dapat bantu Papa selesaikan urusannya di dunia. Sekali lagi terima kasih atas kehadiran semua dalam hidup kami sekeluarga.
ROMLI BIN ISMAIL
060752-140517

farahlee_#suratuntukpapa 16may2017
Kalau ikut hati yang dungu, mahu saja aku gali dan peluk Papa di dalam. Tapi aku tahu, ia hanya jasad disitu. Kembali kepada tanah dari tanah yang ia diciptakan. Eventhough I was not there the whole proses, keluarga memaklumkan urusan jenazah Papa tersangat dipermudahkan. Proses memandikan dan mengafankan dilakukan di IJN oleh ahli keluarga dengan bantuan pihak pengurusan jenazah. Sangat lancar dan tenang. Kemudian disolatkan oleh keluarga terdekat dan jenazah dibawa ke rumah Kakak di Hulu Langat sementara menunggu untuk di solatkan dan disempurnakan di tanah perkuburan berhampiran. Subuhnya gerimis dan sepanjang hari cuacanya mendung, seakan memahami hati setiap kami.
Terima kasih kepada semua yang memudahkan urusan jenazah Papa. Maaf kerana kami tidak bawa balik ke Terengganu, kerana tahu, afdhalnya ia disempurnakan dengan cara yang paling cepat dan tidak menyusahkan. Terima kasih kepada yang datang, dan yang jauh mendoakan. Kena dengan sifat Papa sepanjang hidupnya. Papa yang suka memudahkan urusan orang, walaupun menyusahkan dirinya. Yang selalu meraikan setiap undangan. Yang selalu tawarkan bantuan untuk menolong keluarga dan kenalan. Sepanjang seminggu di hospital juga, sakitnya dipura-pura sihat. Kerana tidak mahu menyusahkan kami. No wonder, perginya juga dipermudahkan urusan oleh Yang Menciptakan. Papa, sifat itu, akan kami adik beradik sambungkan dalam diri kami. Supaya menjadi ganjaran Papa di sana, atas didikan kepada anak yang sempurna.
ROMLI BIN ISMAIL
060752-140517

farahlee_#suratuntukpapa 16may2017
Melihat omma menangis teresak-esak sambil mengganggang telefon sejurus mendapat berita Tokpa dah takde;
M: Omma kenapa omma.? (sambil gosok bahu omma). Omma sedih ke.? Kesian omma. Omma dah lah tu menangis (mungkin sebab Maream dah pujuk lama tapi tak makan)..
Maream, Tokpa sayang Maream sangat-sangat. Beberapa minit sebelum Tokpa tak sedarkan diri, Nekma sempat message nurse tanya keadaan Tokpa, nurse cakap takpe jangan risau, Tokpa ok je dan rancak bercerita tentang Maream sambil tunjuk video Maream di Korea yang omma kirimkan padanya. Mungkin disaat akhir nyawa Tokpa, walau jasad kita jauh, tapi kita dekat di hatinya. Maream, Tokpa selalu risaukan Maream. Apa yang berlaku pada keluarga kita tempoh hari, Tokpa menangis hampir setiap hari. Katanya dia tak risau pasal omma sebab dia kenal omma pandai bawa diri, tapi dia tak mampu terima kenyataan yang Maream hidup tanpa kasih ayah di sisi. Itulah Tokpa, Maream. Walau sibuk berkerja, tapi tak pernah kurang dalam memberi kasih sayang pada keluarga. Sentiasa diadakan masa untuk diluang untuk anak cucu bersama. Itulah Tokpa Maream, seorang yang tersangat sayangkan Maream.
ROMLI BIN ISMAIL
060752-140517

farahlee_#suratuntukpapa 17may2017
Bagai terhenti nafas mendapat berita Papa dikejarkan ke ER IJN lebih seminggu yang lepas. Terus teringat yang tiket ke Korea dah dibeli. Kalau pergi untuk bersuka, terus saja aku cancel. Tapi pergi atas undangan untuk perkongsian, juga atas urusan kerja. Selepas berbincang bersama, mereka cadangkan aku pergi juga. Niat aku satu, segala perkongsian aku di situ, mana yang benificial, aku harap Allah tukarkannya kepada ganjaran untuk Papa. Sebagai doa untuk penyembuhan Papa. Sebelum terbang, sempat aku minta supaya keluarga request untuk tukarkan Papa ke ward biasa. Aku kasihan lihat Papa duduk seorang tanpa teman, sebab di HDU, tiada siapa dibenarkan menunggu di sisi. Aku juga dah plan, nanti balik dari Korea, dapat aku temankan Papa hari-hari, sambil buat kerja dan temankan Mama sekali.
Di tengah perkongsian, sempat aku membelek notification whatsapp yang masuk. Sebak ditahan membaca yang dari HDU, Papa diarah ditukar ke CCU. Bukan itu yang aku mahu. Kemudian datang soalan, ditanya apa plan aku untuk masa depan. Jawab aku, aku hanya mahu bahagia. Dan aku bersyukur, Allah tarik balik komitmen aku pada rumahtangga kerana aku dapat gunakan ruang itu untuk fokus berbakti pada orang tua. Tak berjaya menahan sebak, aku termenangis teresak-esak. Mengenang kasih ibu bapa kepada anak-anak. Jadi aku pesan, dalam dunia ni, walau seramai mana orang yang sudi sayang, tapi ia takkan pernah mampu melawan kasih sayang parents seorang. Hargai mereka, belajar elok-elok dan make them proud.
Papa, selalu bercerita tentang anak cucu pada sesiapa yang dia jumpa. Dulu kami segan seolah papa membangga punya kami yang tidak hebat mana. Kini kami faham, ia sebab dia bangga punya kami walau pada mata orang kami biasa2 saja. Dia membesar tanpa ibu ayah, tiada harta didikan. We are the only thing yang dia boleh banggakan. Papa, walau ke sana menyebabkan Kakcik tak dapat menatap wajah bujur akhir Papa, Kakcik harap, pesanan itu, mampu menguatkan lagi kasih mereka pada parents mereka. Semoga mereka berjaya dan berjaya membanggakan parents mereka. Semoga kebahagiaan mereka, membahagiakan juga Papa di Sana.
ROMLI BIN ISMAIL
060752-140517

farahlee_#suratuntukpapa 18may2017
Papa, orang yang paling mahu lihat aku jadi jurutera, tapi dia juga orang yang paling tinggi support aku dengan apa yang aku suka. Aku tahu dia tak suka aku buat business, tapi dialah jugalah orang yang sentiasa ada support aku tanpa lekang. Teringat masa aku buka butik dulu, sebab nak jimat cost renovation, ubah suai dibuat sendiri semua. Dialah yang paling banyak keluarkan keringat. Manually gergaji metal pipe sampai mengelupas kulit. Buat thread, drill, wiring, pasang perabot, semua lah, semua. Beberapa hari bermalam di butik saja. Tidur pun terus di butik saja. Penat, sakit belakang, tapi tak pernah mengeluh. Lihatlah ayah, walau tak suka, tapi dikorbankan juga tenaga, semata mahu lihat anak gembira.
Bila aku join booth jualan, dia jugalah yang sanggup drive jauh datang dari kampung. Walau aku tahu dia tak larat dan wang juga hanya cukup-cukup tampung perjalanan. Tak kira dimana pelusuk kami buat, dia dan Mama pasti datang. Katanya, nak anak berjaya kan.? Mestilah dia kena berkorban. Lihatlah ayah, walau tak suka, tapi diluangkan juga masa, semata mahu bersama ada. Dulu aku buat business suka-suka, sehinggalah sekarang ia jadi career. Alhamdulillah rezeki sekarang makin bertambah, sempatlah aku kongsikan rasa gembira aku dengan perkembangan business aku padanya. Dia senyum dan kata, mestilah, kan redha mak ayah ada bersama. Lihatlah ayah, walau tak suka, didoakan sentiasa, semata mahu anak berjaya.
Papa, terima kasih atas sikap keras kepala yang diturunkan pada Kakcik. Dengan sikap itu, Kakcik determine buat apa yang Kakcik buat sampai menjadi. Sekarang Papa dah takde, tapi Kakcik boleh berkerja sambil bersama temankan Mama. Tak terikat dengan waktu kerja, jadi boleh sentiasa ada isi kekosongan jasad Papa di sisi Mama. Allah telah atur dengan baik dan cantik. Terima kasih Papa, terima kasih.
ROMLI BIN ISMAIL
060752-140517

farahlee_#suratuntukpapa 19may2017
Malam terakhir Papa, dia tak dapat tidur hingga subuh. Datang nurse tanya kenapa Pakcik tak tidur.? Jawabnya “Macam mana saya nak tidur.? Saya teringatkan isteri saya tak tidur mendoakan saya di sebelah (waiting room)”. Allah. Berderai aku waktu itu. Iya, sebagai anak, kita saksi naik turun rumahtangga ibu bapa. Kadang nampak terlalu tak serasian mahu saja aku cadang, Papa Mama berpisahlah kalau itu yang membahagiakan korang. Tapi mereka pilih untuk berkorban. Sabar dan bertahan. “Kakcik, walau macam mana pun Papa struggle dalam perkahwinan, Papa takkan sesekali tinggalkan Mama, demi anak-anak”.
Benar, Allah itu Maha Adil. Setiap hamba yang sabar dan usaha pasti dibagi bahagia. Waktu-waktu akhir mereka sangat suka. Kemana sahaja berdua. Spend time bersama. Papa yang dulu tak suka bergambar, sekarang dia yang ajak Mama selfie. Papa yang dulu ego tinggi, sekarang tak lekang berterima kasih dan sorry. Papa yang dulu senang tinggi suara, sekarang santun sopan melayan isterinya.
“Haritu Papa makan nasi dagang 3 pinggan”. “Wah banyaknya Papa makan”. “Mestilah, kan Mama yang masak”.
Walau kami adik beradik ada, dia mesti akan cari Mama, minta gosokkan badan sambil Mama bacakan ruqyah. “Mama ni bomoh besar, dia baca-baca je hilang rasa sakit”. Betullah, doa isteri sangat termakbulkan. Bukan.? Hari sebelumnya, Papa ambil tangan Mama dan pegang seerat-erat sambil air mata menitis. Mungkin dah dapat merasakan. Aku tahu, itu saat paling bahagia Mama dalam hidupnya.
Papa, terima kasih kerana pergi dengan meredhakan Mama, sepertimana Mama meredhakan kepergian Papa. Papa, Papa telah didik kami dengan sempurna. Kami akan sambung tugas papa untuk menjaga Mama hingga akhir nyawa. Kita jumpa ya semua kita di SyurgaNya.
ROMLI ISMAIL
060752-140517

farahlee_#suratuntukpapa 20may2017
Ini, gambar terakhir kita bersama, Papa. Senyuman di bibir, kucupan di pipi dan usapan di dahi, masih hangat di hati. Petang itu, selepas meminta izin untuk ke Korea malamnya, aku sempat berkata “Papa kuat kan.? Kakcik gi Korea kejap je. Sempat kan Papa makin sihat Kakcik balik nanti.? Balik nanti Kakcik temankan Papa hari-hari ok.?”. Dia senyum je, tak menjawab ya. Aku tak sangka, tiada ya itu salah satu tandanya. Waktu melawat sudah tamat. Selepas aku usap dahinya, aku mengundur pergi. Being the cheekiest daughter, aku berundur lambai sambil menari. Dia menyambut dengan lambaian dan senyuman yang paling manis sekali. Sebak, tapi aku hidekan. Itulah gambaran terakhir Papa dalam ingatan. Dia, dan senyuman.
Kalau ikutkan, terlalu mahu aku berada dekat di saat akhirnya. Terkilan. Tiada memandikan, tiada mengafankan, tiada menyolatkan. Tapi aku yakin, Allah hantar aku ke jauh waktu itu, mungkin kerana mahu gambaran terakhir aku di mata Papa adalah aku yang bahagia. Bukan aku yang sedih melihat kesakitannya. Bukan aku yang lelah dengan ujianku. Aku tahu, dia sangat sentiasa risaukan aku dan Maream. Pertama kali aku lihat dia menangis dalam hidupnya adalah selepas dia mendapat tahu yang aku bakal diceraikan. Luluh hati. Melihat seorang yang sentiasa kuat dan berego tinggi, menitiskan air mata kerana kami. Tapi apakan daya, ia tetap terjadi.
Jadi aku yakin, Allah hantar kami ke jauh waktu itu, mungkin supaya dia dapat lihat yang aku dan Maream kini sangat bahagia walau hanya berdua. Akhir detiknya, dia sangat gembira tunjukkan nurse video kompilasi aku dan Maream di sana yang aku kirimkan khas untuknya. Mengingati itu, dada jadi sebak pilu. Tapi aku syukur, kerana itu gambaran terakhir kami dimatanya. Kami yang bahagia. Yang mungkin membuatkan dia pergi juga dengan bahagia. Papa, tak apa, jasad kita mungkin tak bersama di sini. Tapi Kakcik akan cuba untuk kirimkan doa peneman Papa di Sana hari-hari, macam yang Kakcik dah janji. Mungkin bakti Kakcik tak banyak untuk Papa di dunia, cuma Kakcik harap dapat jadi anak yang berbakti pada akhirat Papa selamanya. Itulah bakti yang kekal dan setia.
ROMLI BIN ISMAIL
060752-140517

farahlee_#suratuntukpapa 21may2017
7일이 지났습니다, Papa. Aku bersyukur kesedihan kehilangan orang yang sudi sayang sementara, diganti dengan kesedihan kehilangan orang yang ikhlas menyayangi hingga akhir nyawa. Walau ia sedih yang lagi pedih, Tapi ia pedih yang lagi menambahkan kasih. Walau pilu setiap kali rindu bertamu, Aku harap aku sentiasa rindu kamu, Kerana hanya rindu yang berani mengganti mampu, Dari suatu pelukan jasad aku, Kepada pelukan doa peneman kamu di Situ.
Papa, Kakcik redha Papa pergi, Cuma mungkin akan sesekali air lalu di pipi, Bukan meratapi, Sekadar memenuhi naluri penciptaan hati.
Papa, Kakcik akur Papa dipulangkan, Cuma mungkin akan sesekali pena berjalan, Seolah menyurat melalui Tuhan, Kerana itu cara Kakcik dapatkan kekuatan.
Rehatlah, Dan tenanglah Papa di sisi Pencipta, Semoga kita bertemu lagi di Syurga.  Kakcik sayang Papa, 영원히, selamanya.
ROMLI BIN ISMAIL
060752-140517
Innalillahiwainnailaihirojiun

0 Response to "Warkah Farah Lee Buat Arwah Ayahnya Pasti Akan Membuatkan Anda Rasa Sebak !!!"

Post a Comment