Dari kecil ibu bapa menjaga kita, sehingga usia di mana kita sudah mampu berdikari. Pada
ketika itu, pastinya mereka mahu berehat dan menikmati hari-hari tua mereka dengan
pelbagai aktiviti, termasuk aktiviti keagamaan.
Namun, ada segelintir anak yang gemar meminta pertolongan ibu bapa mereka untuk
menjaga anak-anak mereka. Pelbagai alasan yang diberikan, tiada cukup wang, takut
anak didera pengasuh dan sebagainya. Rayuan itu membuatkan orang tua tiada pilihan
selain bersetuju.
Tidak terfikirkah yang mereka akan berasa penat dan lelah menjaga anak-anak anda?
Seperti yang berlaku pada Tina yang berkongsikan kisahnya di bawah. Semoga bermanfaat.
Dari Tina, IIUM Confessions
Saya Tina, baru saja habis pantang bersalin anak kedua dan juga baru dibuang kerja serta-merta
semasa masih dalam pantang. Suami juga hanya tinggal berbaki sebulan lagi untuk berkhidmat
di syarikat tempatnya bekerja kerana telah mendapat surat amaran terakhir akibat keengganan
suami untuk ditukarkan lokasi kerja. Ujian datang bertimpa-timpa. Biar saya ceritakan
satu-persatu agar dapat dijadikan sebagai teladan buat pembaca sekalian.
Sebelum saya mengandung anak yang kedua, saya hantar anak sulung umur setahun setengah
kepada mak setiap hari sebelum pergi ke pejabat. Mak yang jaga anak sulung saya dari pagi
sehingga saya pulang dari kerja. Selepas ambil anak, saya akan terus pulang ke rumah
sendiri. Begitulah rutin saya dari Isnin sehingga Sabtu (memandangkan saya bekerja
separuh hari Sabtu) selama dua tahun.
Mak tidak pernah merungut. Saya tahu ini adalah kesilapan besar seorang anak yang
menghambakan ibu untuk menjaga anak saya. Duit gaji saya hanya berikan pada mak
setelah saya bayar semua komitmen bulanan saya. Kalau tak cukup, tak adalah duit yang
akan diberi pada mak. Sebab itu saya tak hantar anak di rumah pengasuh, sebab duit gaji tak
cukup. Saya tahu saya salah, saya tahu saya buat silap! Semoga Allah mengampunkan
dosa-dosa saya pada mak.
Sepanjang anak saya di bawah jagaan mak, jadual mak telah berubah. Mak tak dapat
lagi ke kelas mengaji kerana dia perlu menjaga anak saya. Mak terpaksa korbankan
masanya semata-mata kerana beban yang saya telah letak padanya.
Kadang-kadang ada hari ketika mak tak sihat, tetapi saya masih mahu ke pejabat dan
terpaksalah mak menjaga anak saya dalam keadaan dirinya yang tidak mengizinkan.
Ayah juga banyak mengorbankan masanya untuk menjaga anak saya sekali sekala bila
mak sudah tidak berdaya.
Kadang-kadang saya balik kerja lewat malam, terpaksalah ayah dan mak batalkan
hasrat untuk ke kuliah maghrib di surau berdekatan kerana tiada siapa yang akan
menjaga anak saya.
Suami? Mesti pembaca tertanya-tanya apa peranan suami saya sehingga anak pun tak
boleh nak dihantar ke pengasuh. Suami saya kadang-kala dihantar bertugas di luar
negara oleh syarikatnya. Gaji dia memang banyak tetapi tak tahu kenapa kami sentiasa
rasa tak cukup. Semakin hari, hidup saya macam kucar-kacir. Hutang sana sini. Maka
bermulalah ujian satu-persatu datang.
Selepas saya mengandung anak kedua, syarikat suami bekerja mengarahkannya
bertugas di luar negara selama lima tahun, bergantung pada jangkamasa projek.
Suami enggan menerima arahan tersebut sehingga diberikan surat amaran ketiga
yang menyatakan suami akan dibuang dalam tempoh tiga bulan dari tarikh surat
amaran terakhir dikeluarkan. Banyak faktor suami enggan ke sana selama 5 tahun.
Berbalik pada kisah saya dibuang kerja. Semasa dalam pantang, saya menerima
panggilan dari pejabat menyatakan kerja saya telah diaudit dan mereka menemui
dokumen yang telah ditandatangani oleh saya bagi pihak klien. Disebabkan dokumen
itu, saya diberhentikan kerja serta-merta dan diminta datang ke pejabat untuk
mengesahkan isu berkenaan. Saya terima silap saya dan redha dengan apa yang terjadi.
Sekarang, keadaan saya benar-benar kucar-kacir. Dengan tak ada kerja, dengan suami
yang akan diberhentikan dan masih belum dapat panggilan temuduga, dengan
komitmen-komitmen yang berlambak yang perlukan duit setiap bulan, memang tertekan.
Dipendekkan cerita, kakak saya yang mengetahui khabar saya kemudian mesej dan
kata-katanya membuatkan saya benar-benar insaf.
Dalam mesejnya,
“Tina, kakak tak pernah nak masuk campur urusan hidup Tina. Tetapi kalau Tina boleh
fikir semula, semua ujian yang datang pada Tina dan suami sekarang mungkin
disebabkan tergurisnya hati mak ayah pada Tina.
"Mak tak cakap pada Tina sebab tak nak Tina dan suami kecil hati. Tapi kakaklah
yang selalu menjadi pendengar mak. Mak setiap hari call kakak beritahu mak penat
sangat tapi tak dapat rehat sebab jaga anak Tina. Mak tak pernah minta duit Tina dan
suami. Mak sayang cucu mak tapi mak perlu masa untuk diri mak sendiri. Mak perlu
hadir ke kuliah agama dan kelas mengaji sebab mak suka aktiviti-aktiviti itu.
"Tapi Tina tidak pernah faham mak. Tina tahu tak, kalau hati mak dah terguris sikit pun,
apa saja yang Tina buat takkan menjadi. Apa jadi bila mak tak redha atas apa yang
Tina buat? Tina ambillah masa dan fikir balik,” tulisnya.
Ya Allah, saya benar-benar dah buat silap. Saya nak berjaya tetapi saya tak dapat
keredhaan mak. Saya selalu ingat mak okay sebab mak tak pernah mengeluh dan
mengadu pada saya apa-apa. Mungkin hidup saya kucar-kacir sebab saya dah buat
mak ayah terasa hati dengan perbuatan saya yang selama ini saya sendiri tak sedar.
Saya insaf, saya solat taubat agar Allah mengampunkan dosa saya.
Saya minta maaf pada mak dan ayah.
Semoga kisah saya ini boleh dijadikan sebagai iktibar buat pembaca. Pada yang
masih menghambakan mak dan ayah, tengok macam-mana kehidupan anda
pada saat ini. Bahagiakah? Sama-sama kita perbetulkan kesilapan kita selagi masih ada masa.
0 Response to "'Inilah balasan untuk saya yang menghambakan ibu bapa'"
Post a Comment